KUALA NERUS - Seekor harimau belang digelar 'Awang Besol' yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas berkeliaran di Kampung Besol Lama, Dungun pada kelmarin disyaki dijangkiti virus Canine Temper Disorder.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, virus tersebut menyebabkan harimau dari spesies Harimau Malaya berusia lima tahun terbabit mengalami kecelaruan minda sehingga berubah menjadi jinak yang bertentangan dengan sifat semula
jadinya..
"Pemeriksaan awal mendapati harimau jantan berkenaan berkemungkinan mengalami simptom dijangkiti virus Cannine Temper Disorder.
"Virus yang disebarkan kucing dan anjing domestik itu biasa menjangkiti haiwan liar seperti harimau tetapi ia kes pertama dilaporkan di Terengganu," katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Professor Adjunct Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT menyampaikan syarahan 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan' pada program yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar.
Dalam perkembangan sama, Abdul Kadir menolak kemungkinan harimau 'Awang Besol' itu dibela berdasarkan keadaan fizikalnya yang tidak terurus sewaktu ditemui anggota Perhilitan. - K! ONLINE