SAYA mahu menetap di negara ini kerana makanan dan orang-orangnya, kata penyanyi pop kelahiran East Tilbury, Essex, England, Anne-Marie ketika menghiburkan lebih 1,200 peminat dalam konsert Anne-Marie Live in Malaysia pada Isnin lalu di KL Live at Life Centre, Kuala Lumpur.
Anne atau nama sebenarnya, Anne-Marie Rose Nicholson acap kali melaungkan ungkapan terima kasih sebagai usaha untuk mendekatkan diri dengan peminat yang hadir. Terdapat beberapa perkataan lain dalam bahasa Melayu yang keluar daripada bibirnya seperti ‘apa khabar’ dan ‘aku cinta padamu’.
Sebelum Anne masuk ke pentas persembahan, peminat sudah terpekik-pekik dan melaungkan namanya. Sebaik sahaja wanita berusia 28 tahun itu muncul, keadaan terus menjadi riuh dengan tepukan serta teriakkan peminat.
Anne memulakan atmosfera persembahan dengan mendendangkan dua buah lagu yang dimuatkan dalam album perdananya, Speak Your Mind iaitu Cios Adios dan Cry sebelum terus merancakkan suasana dengan single yang diterbitkan pada 2014 berjudul Do It Right.
Buat peminat yang mengikuti kerjaya nyanyian Anne, pasti mengetahui bahawa dia memiliki tali pinggang hitam sukan karate. Di atas pentas, dia juga beraksi lincah dan beberapa kali melakukan tendangan angin secara spontan.
Selain persembahan yang memukau, satu perkara lagi yang layak dipuji adalah sikap Anne yang menghormati budaya masyarakat tempatan. Menyedari dia berada di bumi Malaysia yang mempunyai etika atau peraturan pemakaian yang ketat, Anne bijak mengikut keadaan. Dia yang lazimnya berpakaian seksi tampil dengan busana yang sopan dan tidak mencolok mata sepanjang persembahan. Menggayakan celana panjang yang dipadankan dengan baju sut bersaiz besar berona hitam, Anne merupakan satu teladan buat artis luar negara yang ingin melakukan persembahan di Malaysia.
Penghargaan
Bahang persembahan diteruskan Anne menerusi lagu-lagu seperti Bad Girlfriend, Alarm dan Heavy. Dalam pada itu, Anne sempat mencuri ruang dengan memberi apresiasi kepada seorang peminat yang hadir dengan lukisan wajahnya. Perbuatan, Anne yang mengambil lukisan tersebut dan menyimpannya telah mendapat sorakan dan tepukan gemuruh seisi dewan.
Selesai sesi penghargaan bersama peminat, tanpa berlengah, Anne meneruskan persembahan dengan lagu rancaknya Perfect To Me, Can I Get Your Number? dan Let Me Live.
Seperkara cukup unik tentang penyanyi ini adalah dia bijak bermain kata-kata dengan peminat yang hadir. Ada sekali, terdapat pin tersangkut pada bahagian belakang seluarnya dan membuatkannya tidak selesa. Secara spontan Anne berkata: “Ada sesiapa mahu tolong saya tanggalkan pin ini (ketawa)?”
Selepas 70 peratus persembahan selesai, Anne kemudian mendendangkan lagu Trigger sebelum membuatkan lokasi konsert terus gamat dengan lagu hit berjudul Don’t Leave Me Alone.
Suasana menjadi lebih hangat apabila Anne menyanyikan lagu paling popularnya, Rockabye. Untuk rekod, lagu tersebut merupakan single dendangannya yang paling tinggi mendaki carta Billboard Hot 100 iaitu pada tangga ke-9.
Anne menutup tirai persembahan dengan dua buah lagu berjudul 2002 dan lagu hitnya bersama Marshmello iaitu Friends. Menariknya, sebelum mendendangkan lagu tersebut, Anne lari sebentar ke belakang pentas. Selang beberapa saat, dia kembali semula ke atas pentas memakai baju-T yang tertulis perkataan Malaysia hadiah daripada seorang peminat.
Persembahannya secara keseluruhan tersusun rapi terutama dari aspek pemilihan lagu. Memandangkan Anne hanya memiliki sebuah album studio, jadi persembahannya berlangsung dengan agak singkat iaitu sekitar sejam 30 minit sesuai dengan sejarah diskografinya yang agak terhad.
Bagaimanapun sebelum Anne menghiburkan peminatnya pentas terlebih dahulu telah dipanaskan dengan persembahan pembukaan daripada penyanyi muda tempatan iaitu Amir Hasan, Bunga dan Layla Sania yang mendendangkan lagu asal Rudimental featuring Jess Glynne, Macklemore serta Dan Caplen berjudul These Days sebelum Andi Bernadee menggamatkan pentas menerusi dua buah lagu, Satu Peluang dan Donde.
Terdahulu, pada sebelah siang sebelum konsert, Anne sempat meluangkan masa selama 15 minit bersama pihak media tempatan.
Pengaruh muzikal, cinta
Pelbagai cerita dikongsikan bersama antaranya mengenai penglibatannya dalam teater muzikal Les Misérables dan Whistle Down The Wind ketika kecil yang membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi pada hari ini. Dedahnya, dia juga pernah terlibat sama dalam teater Whistle Down The Wind bersama penyanyi Jessie J ketika kecil.
“Teater muzikal sangat berbeza dengan apa yang dilakukan sekarang sebagai seorang penyanyi. Bagaimanapun, melalui teater muzikal, saya belajar bagaimana untuk menyampaikan mesej dan cerita melalui karya.
“Itu yang menjadi pegangan saya sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo! ketika diwawancara di Hotel W, Kuala Lumpur.
Tambah Anne, menjadi seorang penyanyi pop berbeza dengan pengalaman berlakon teater muzikal.
“Saya bikin muzik pop bukan tanpa mesej. Saya selalu ingin menyampaikan sesuatu melalui karya. Itu juga saya belajar daripada pengalaman ketika kecil dalam teater muzikal.
“Dalam teater, saya berlakon menjadi orang lain. Sekarang sebagai penyanyi pop, saya menjadi diri sendiri dan saya tidak pakai rambut palsu (ketawa),” ujarnya yang mengakui rindu untuk terlibat dalam pementasan teater muzikal.
Disuakan pertanyaan adakah nyanyian merupakan kerjaya pilihan pertamanya, jawab Anne: “Saya mula menyanyi ketika berusia lima tahun. Saya tahu yang saya ingin menjadi seorang penyanyi, tetapi tidak tahu bagaimana caranya.
“Saya berasal dari kampung terpencil dan tidak mempunyai kenalan dalam industri. Jadi, saya boleh sifatkan apa yang berlaku sejak kecil sehingga sekarang adalah sebagai perjalanan kerjaya yang pelik.”
Sebelum menggulung perbualan, sengaja disoal tentang teman hidup yang masih agak samar-samar buat Anne. Hal ini kerana, dia agak berahsia apabila diminta memberi komen berkenaan kehidupan peribadinya. Namun, pada 2016, dia pernah memberi kenyataan kepada Nova Radio tentang kisah cintanya, namun langsung tidak memperincikan hal tersebut.
Jawab Anne seraya melemparkan senyuman: “Saya memang tidak bercerita tentang itu (cinta) kepada orang ramai. Saya rasa hal berkaitan perkara tersebut akan disimpan hanya untuk diri saya buat masa ini.”
Penyanyi pop kelahiran England, Anne-Marie menyarung baju-T tertera perkataan Malaysia hasil pemberian seorang peminat pada konsert yang berlangsung Isnin lalu. Dalam wawancara bersama Kosmo!, Anne berkongsi tentang pengaruh teater muzikal pada dirinya dan rahsia cinta yang sukar dirungkai. - kosmo
No comments:
Post a Comment