Friday, March 1, 2013

Trauma Terima Gambar Lucah



ALOR GAJAH - Seorang pekerja swasta trauma selepas menerima gambar lucah menerusi sistem pesanan bergambar (MMS) dan disusuli ayat mengghairahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenalinya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Sofea, 25, (bukan nama sebenar) terkejut sebaik sahaja melihat MMS dan SMS berkenaan.

Jurucakap polis berkata, SMS itu mengundang ketakutan kepada mangsa kerana seolah-olah pergerakannya diperhatikan.

"Pada mulanya, mangsa tidak mengendahkan MMS berkenaan kerana menyangka individu terbabit tersilap nombor, namun selepas itu dia menerima SMS lucah.

"SMS itu menggambarkan individu terbabit seolah-olah memerhati pergerakan mangsa, malah mendakwa mengetahui pakaian yang dipakai mangsa dan di mana mangsa berada,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, mangsa diganggu dengan panggilan beberapa nombor tidak dikenali.

"Mangsa yang tinggal di sekitar daerah ini membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan kes dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.

No comments: