Saturday, March 31, 2012

Kejam!! Mayat Bayi Dijumpai Di Dalam Longkang

KEPONG - 24 jam selepas penemuan janin bayi di Jinjang kelmarin, satu lagi mayat bayi lelaki cukup sifat masih bertali pusat berserta uri ditemui di perangkap sampah di dalam longkang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, semalam.


 Lebih menyayat hati, bahagian muka bayi tersebut kemek dipercayai akibat terhantuk dinding longkang (konkrit) semasa dihanyutkan. Bayi tersebut ditemui dalam keadaan terlangkup oleh seorang pekerja kontraktor pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas-tugas pembersihan di situ pada jam 11 pagi. Rafu’si Ahmad, 40, berkata, dia tiba di lokasi jam 10.30 pagi, sedikit lewat daripada kebia­saannya kerana hujan lebat pagi semalam.

 Menurutnya, ketika mahu mengaut sampah di lubang perangkap tersebut, dia melihat satu objek terapung dan menyangkanya anak patung. “Saya kaut ia naik ke atas dan melihat ada tali pusat, baru saya sedar ia adalah mayat bayi.

 “Ketika itu saya berasa amat terkejut dan berasa amat kasihan dengan nasib bayi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. Rafu’si kemudiannya bertindak memanggil seorang pemancing yang berada berhampiran untuk mendapatkan bantuan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bayi tersebut dipercayai dibuang kurang daripada 24 jam daripada masa ditemui. Katanya, mayat bayi tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta hubungi balai polis terdekat,” katanya.- Sinar

No comments: