Monday, April 23, 2012

Bergayut Ala Spiderman Elak Dicekup


AMPANG - Seorang pemandu teksi bergadai nyawa dengan bergayut ala Spiderman pada luar tingkap rumah setinggi tiga tingkat bagi mengelak dicekup sepasukan Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi semalam.

 Ketika ditahan, lelaki berusia 33 tahun itu memberi alasan singgah makan di bilik sewa teman wanitanya di sebuah rumah kedai, di sini, pada jam 5.30 pagi. Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, siasatan mendapati lelaki itu telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, manakala teman wanitanya berusia 36 tahun itu adalah bekas pekerja di sebuah kelab malam di sekitar Lembah Klang.

“Difahamkan, lelaki berkenaan menjalin hubungan sulit bersama janda yang mempunyai seorang anak itu sejak dua tahun lalu. Wanita itu juga dipercayai mengandung empat bulan,” katanya. Ahmad Nawi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota penguat kuasa agama menyerbu premis itu.

 Menurutnya, ketika serbuan seorang wanita membuka pintu dan dia memberi alasan tinggal seorang diri di bilik itu. “Kami mendapati lelaki berkenaan berpakaian lengkap, manakala wanita itu berpakaian baju tidur ketika serbuan dijalankan,” katanya.

 Dalam operasi berasingan yang dijalankan bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu, dua pasang kekasih yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun turut ditahan di sebuah rumah kedai di Pandan Indah. “Kami menahan dua beradik itu bersama pasangan masing-masing di rumah sewa mereka.

“Difahamkan mereka dipercayai bersekedudukan di rumah itu sejak dua bulan lalu,” katanya. Ahmad Nawi berkata, operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.- Sinar

No comments: