Wednesday, May 23, 2012

10 Jam Tercekik Ikan Puyu



LUBOK ANTU: Gara-gara mahu mematikan seekor ikan puyu yang dipancing dengan cara menggigitnya, seorang kanak-kanak terpaksa menanggung kesakitan kira-kira 10 jam apabila tercekik ikan berkenaan dalam kejadian di anak sungai berhampiran Rumah Panjang Endawie Nangka Jela Engkari, di sini, kelmarin.
Philip anak Muan, berusia 12 tahun, terpaksa menahan kesakitan itu sebelum ikan bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar itu dikeluarkan sepenuhnya oleh doktor selepas dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) terletak lebih 200 kilometer dari rumahnya.
Bapa mangsa, Muan anak Burong, 40, berkata sebelum kejadian, Philip dan adiknya berusia sembilan tahun memancing di anak sungai berhampiran rumah panjang mereka, sebaik pulang dari sekolah, kira-kira jam 2.30 petang.
Menurutnya, dalam tempoh 10 minit, anaknya berjaya memancing seekor ikan puyu sebelum menggigit ikan itu bertujuan mematikannya, tetapi ikan itu tiba-tiba menggelupur dan terus masuk ke kerongkong anaknya.
“Saya pelik apabila melihat anak saya berlari sambil menangis dengan keadaan mulut ternganga.
“Saya terkejut apabila mendapati seekor ikan di dalam mulut anak dan cuba memasukkan jari bagi mengeluarkan, namun anak saya menjerit kesakitan kerana duri pada pada ikan itu tersangkut di lelangit mulut,” katanya.
Muan berkata, ikan itu masuk lebih jauh ke dalam kerongkong anaknya apabila dia cuba menarik ekor ikan berkenaan.
Menurutnya, apabila melihat Philip semakin sukar bernafas, dia bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Batang Ai, sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman.
“Ketika itu mulut anak saya sudah berdarah kerana lelangitnya yang tertusuk duri ikan itu, cuma dia bernasib baik kerana masih boleh bernafas dan masih mampu bertahan.
“Sebaik sampai di Hospital Sri Aman, Philip terpaksa dihantar menaiki ambulans ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan sampai di hospital berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam.
“Sementara menunggu menjalani pembedahan, anak saya tiba-tiba termuntah cebisan daging ikan berkenaan yang mula hancur.
“Anak saya muntah beberapa kali sebelum doktor melakukan pembedahan kecil mengeluarkan sisa ikan yang masih tertinggal dalam mulutnya,” katanya.
Mangsa dipindahkan ke wad pediatrik HUS dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Harian Metro

No comments: