Friday, March 1, 2013

Trauma Terima Gambar Lucah



ALOR GAJAH - Seorang pekerja swasta trauma selepas menerima gambar lucah menerusi sistem pesanan bergambar (MMS) dan disusuli ayat mengghairahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenalinya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Sofea, 25, (bukan nama sebenar) terkejut sebaik sahaja melihat MMS dan SMS berkenaan.

Jurucakap polis berkata, SMS itu mengundang ketakutan kepada mangsa kerana seolah-olah pergerakannya diperhatikan.

"Pada mulanya, mangsa tidak mengendahkan MMS berkenaan kerana menyangka individu terbabit tersilap nombor, namun selepas itu dia menerima SMS lucah.

"SMS itu menggambarkan individu terbabit seolah-olah memerhati pergerakan mangsa, malah mendakwa mengetahui pakaian yang dipakai mangsa dan di mana mangsa berada,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, mangsa diganggu dengan panggilan beberapa nombor tidak dikenali.

"Mangsa yang tinggal di sekitar daerah ini membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan kes dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.

Wanita Tertua Di Dunia Orang Malaysia?



Sariah wanita tertua di dunia?


PORT DICKSON - Jika benarlah tarikh yang dicatat dalam MyKad, Sariah Marjo, yang dilahirkan pada tanggal 28 April 1899 mungkin boleh dikatakan wanita tertua di dunia ketika ini, hanya setahun lebih muda daripada Misao Okawa, 114, yang diiktiraf wanita paling tua di dunia dalam Rekod Dunia Guinness, kelmarin.

Sariah yang berasal dari Kampung Bukit Tembok di sini akan menyambut hari lahirnya ke-114 pada 28 April depan. Walaupun umur Sariah sudah mencecah ratusan tahun, dia tidak mengidap penyakit kronik, malah masih mampu menguruskan dirinya sendiri.




Sariah wanita tertua di dunia?


Isi masa dengan berzikir

Sariah ketika ditemui di rumah anaknya menolak anggapan bahawa dia mengamalkan amalan tertentu sehingga usianya panjang serta kesihatan masih dalam keadaan baik. Mata dan telinganya juga masih peka, jalannya tidak perlu bertatih, malah makannya tidak perlu bersuap.

Pada masa lapang, Sariah tidak gemar menonton televisyen dan hanya mengisi masa luangnya dengan duduk di belakang rumah sambil berzikir.

Kuat bekerja masa muda

Sariah adalah anak sulung daripada empat beradik dan kesemua adiknya sudah meninggal dunia. Tiga daripada lapan anaknya juga meninggal dunia, termasuk empat daripada lima menantunya.

Sariah yang mempunyai 33 cucu, 60 cicit dan dua piut berkata, dia gembira kerana mempunyai keturunan yang ramai dan diberikan peluang oleh ALLAH SWT untuk melihat generasinya walaupun tidak mampu mengenal dan mengingati kesemua warisnya.

Suami Sariah, Kasmawi Md Yunus meninggal dunia sekitar tahun 1970-an ketika berusia 70 tahun.

Ketika mudanya, Sariah seorang yang sangat kuat bekerja, dia menoreh pokok getah pada awal pagi dan kemudiannya turun ke bendang. Dia melakukan kerja itu untuk membantu suaminya yang bekerja sebagai petani.

Sinar Harian difahamkan, Sariah mula meninggalkan kampungnya iaitu Kampung Bukit Tembok di Pasir Panjang kerana mengikuti anaknya ke Kuala Lumpur yang ketika itu usianya mencecah 60 tahun.

Tidak boleh makan ayam

Anaknya Chumi, 59, berkata, walaupun umur emaknya mencecah 114 tahun, namun dia masih sihat.

“Di sana (Kuala Lumpur) emak menjaga cucu. Malah sehingga kini, semua keperluannya emak akan lakukan sendiri. Sekarang ini emak tinggal bersama saya di sini sejak setahun lalu.

Malah menjadi tradisi keluarga kami, setiap tahun terutamanya hari raya akan berkumpul di rumah adik paling bongsu di Kampung Bukit Tembok,” katanya yang merupakan anak ketujuh.

Chumi berkata, setiap hari dia akan memberi emaknya makan oat, namun emaknya tidak boleh makan ayam.

"Jika emak makan ayam, kakinya akan gatal-gatal. Dari dulu emak memang tiada pantang dalam aspek pemakanan, namun gaya hidupnya yang bekerja sebagai petani menjadikan dia setiap hari menggunakan tenaga dalam erti kata lain bersenam. Oleh itu, saya rasa ini yang menjadi antara faktor emak masih sihat dan panjang usianya,” katanya.

Permohonan BR1M ditolak kerana keliru

Menurutnya, nombor kad pengenalan emaknya adalah 990428****** dan ia banyak kali menimbulkan salah faham ramai pihak.

"Contohnya semasa proses mengambil Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ada yang tidak percaya, malah permohonan pertama emak pernah ditolak kerana didakwa tidak layak.

“Mungkin mereka ingat usia pemohon adalah 14 tahun. Malah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga baru sahaja dimohon setahun lalu,” katanya.

Berita Gembira Untuk Kakitangan kerajaan


Datuk Seri Dr Ali Hamsa


SANDAKAN - Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran semalam.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya.

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - Bernama

Terbaik Dari Ping Busuk