Saturday, September 14, 2013

Apple Perkenal Dua Versi IPhone Baru



CUPERTINO (Amerika Syarikat): Syarikat Apple semalam memperkenalkan dua iPhone terbarunya, termasuk versi lebih murah dalam usaha mendekati lebih ramai pengguna di serata dunia.
iPhone 5C bernilai antara AS$99 ($127) dengan AS$199 bagi kontrak dua tahun dan boleh didapati dalam lima warna.

iPhone 5S pula boleh didapati dalam tiga warna pada harga antara AS$199 dengan AS$399 bersama kontrak - dengan perisian lebih pantas, kamera lebih istimewa dan pengimbas cap jari bagi tujuan keselamatan.

Apple dikatakan cuba mengikuti jejak pesaingnya, seperti Samsung Electronics Co, yang menawarkan telefon bimbit pelbagai reka bentuk dan harga berlainan.

Namun saham Apple merosot 2.3 peratus dan tutup pada harga AS$494.64 di New York selepas pengumuman itu kerana pelabur menjangkakan harga lebih rendah bagi iPhone 5C yang bertujuan menarik lebih ramai pelanggan di pasaran membangun seperti China.

Kededua iPhone baru itu akan mula dijual di Amerika Syarikat, Australia, Britain, China, Perancis, Jerman, Jepun dan Singapura pada 20 September ini.

"Perniagaan telah berkembang dengan begitu besar sekali dan tahun ini kami akan menggantikan iPhone 5 dan menggantikannya bukan dengan satu reka bentuk, malah dengan dua reka bentuk baru," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Encik Tim Cook, di majlis pelancaran di ibu pejabat syarikat berkenaan di Cupertino, California.

Sebelum ini, Apple hanya memperkenalkan satu versi iPhone baru setiap tahun.
Syarikat itu turut mengumumkan mereka akan meningkatkan kecekapan sistem operasi untuk iPhone dan iPad pada 18 September ini.

Sistem iOS7 menambah stesen radio dalam iTunes dan lebih banyak cara untuk mengakses aplikasi. Ia boleh diperolehi secara percuma dan diselarikan dengan peranti Apple seperti iPhone 4 yang dilancarkan pada 2010 dan iPad 2 pada 2011. - Bloomberg, AFP.

Terbaik Dari Ping Busuk