Thursday, June 28, 2012

Bekas Ketua Jurulatih Bola Sepak Negeri Sembilan Di Hukum Penjara 15 Bulan



SEREMBAN- Bekas ketua jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah terhadap 20 tuduhan rasuah mengatur perlawanan bola sepak Piala Presiden tahun lepas.
Tertuduh Yusarman Yusof, 36, kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan Hakim Datin Nursinah Adzmi yang turut memerintahkan hukuman penjara tambahan dua bulan jika dia gagal membayar denda.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan tertuduh membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Yusarman didakwa memberi rasuah RM24,700 kepada 11 pemain bola sepak skuad berkenaan pada 19 dan 22 April tahun lepas.
Tertuduh didakwa memberi suapan tunai RM2,000 kepada 11 pemain terdiri daripada Mohamad Yatim Abdullah, D. Adrian, Muhammad Zaidi Othman, Mohd Hafiz Mohd Nor, Suhairy Johari, Muhammad Riqzi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Norhairi Abd Rahman dan Muhammad Haikal Mohamad Nazri.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis sekitar Pusat Komersial Cempaka, Senawang, di sini pada 5 petang 22 April lepas.
Yusarman turut didakwa memberi suapan tunai RM300 kepada sembilan pemain terdiri daripada D. Adrian, Muhammad Zaidi Othman, Mohd Hafiz Mohd Nor, Suhairy Johari, Muhammad Rizqi Azman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Norhairi Abd Rahman dan Muhammad Haikal Mohamad Nazri dilokasi yang sama, 9 malam 19 April lalu.
Wang suapan itu dikatakan sebagai dorongan kepada pemain terbabit membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang, 21 April tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(B)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali
ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Nursinah dalam penghakimannya berkata hukuman itu diputuskan selepas mahkamah mempertimbangkan rayuan peguam bela dan mengambil kira jasa tertuduh dalam arena sukan bola sepak negara.
"Tertuduh mempunyai jasa kepada negara dalam penglibatan sukan bola sepak dan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, namun kesalahan tertuduh adalah jelas dan mahkamah perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang ada," katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM P. Sevan manakala tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin.- Bernama

No comments: