Thursday, March 29, 2012

Mangsa Simbahan Asid Fakhra Younus Bunuh Diri



ISLAMABAD — Wanita Pakistan, Fakhra Younus yang telah menjalani lebih 30 pembedahan sepanjang satu dekad lalu untuk memulihkan wajah dan badannya yang terjejas teruk akibat serangan asid membunuh diri baru-baru ini.


 Bekas penari berusia 33 tahun, yang didakwa diserang oleh bekas suaminya, seorang wakil rakyat dan anak kepada ahli politik negara itu, melompat dari tingkat enam sebuah bangunan di Rom, Itali. Fakhra tinggal di Rom untuk mendapatkan rawatan. Wanita berkenaan membunuh diri pada 17 Mac lalu, lapor portal majalah mingguan TIME. Jenazahnya dibawa pulang ke Pakistan Ahad lalu dan mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.


 Fakhra mengambil tindakan membunuh diri kurang sebulan selepas penerbit film Pakistan menerima anugerah Oscar bagi dokumentasi berkaitan dengan mangsa-mangsa serangan asid, kata laporan itu lagi. Nasib dilalui wanita itu menggambarkan keperitan layanan buruk dialami kebanyakan wanita di Pakistan.

 Suami wanita itu, Bilal Khar, telah dibebaskan daripada tuduhan serangan asid ke atasnya. Bagaimanapun, menurut laporan itu, ramai percaya bahawa dia menggunakan hubungan dan pengaruh untuk melepaskan diri daripada tuduhan. Lebih daripada 8,500 serangan asid, perkahwinan paksa dan keganasan dalam bentuk lain ke atas wanita dilaporkan di Pakistan tahun lalu.- Sinar harian

No comments: