Saturday, May 5, 2012

Remaja Maut Dipanah Petir Di Teluk Ketapang


KUALA TERENGGANU – Keseronokan memancing bertukar tragedi apabila seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya cedera parah dipanah petir ketika melakukan aktiviti itu di Pantai Teluk Ketapang di sini, petang semalam.

 Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, dari Taman Desa Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) Chendering maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, serta Mohd Fharal Adzaana, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Ibu mangsa, Norhayati Mamat, 42, berkata, arwah anaknya itu meninggalkan rumah kira-kira jam 3 petang dengan menunggang motosikal milik bapanya untuk pergi memancing.

“Arwah memang minat memancing dan hari ini, arwah begitu beria-ia sehinggakan dari pagi lagi dia asyik memperingatkan kepada saya dan ayahnya untuk meminjam motosikal bagi membolehkannya pergi memancing. “Malah, sebelum arwah meninggalkan rumah, dia merenung wajah saya seolah-olah ada sesuatu yang hendak diperkatakan, dalam nada bergurau arwah sempat berkata ‘adakah saya ingin bergaduh dengannya’,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Norhayati berkata, dia tidak tahu arwah anaknya itu datang memancing di pantai berkenaan kerana sebelum itu, arwah memberitahu yang dia akan memancing di Marang bersama lima lagi rakannya. “Saya hanya tahu arwah berada di sini selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anak saya memaklumkan kejadian ini kira-kira jam 4.30 petang sebelum kami semua bergegas ke sini,” katanya dalam nada sayu. 

Sementara itu, rakan mangsa yang terselamat, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing. “Semasa sedang asyik memancing, tiba-tiba awan berubah warna hitam sebelum hujan turun dengan lebat.

Melihatkan suasana yang agak menakutkan dengan guruh dan petir agak kuat, saya menyuruh rakan berteduh di dalam kereta. “Tetapi hanya saya dan seorang lagi rakan yang selamat kerana ketiga-tiga mereka termasuk Mohd Ismuazam tidak mengendahkan suruhan saya malah mengambil keputu-san berlindung di sebuah khemah diperbuat daripada kanvas yang didirikan pemancing sebelumnya,” katanya. 

Mohd Arif berkata, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak walaupun hujan lebat malah sempat lagi bergurau dengan berkata “alang-alang basah mereka akan terus memancing”. “Selepas hujan reda, saya keluar untuk mendapatkan mereka dan terkejut setelah mendapati arwah sudah tidak bernyawa manakala dua lagi cedera. “Saya bergegas meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan ini untuk membawa mereka ke hospital,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments:

Terbaik Dari Ping Busuk