Thursday, August 2, 2012

PDRM Rekod Keterangan 5 Individu Bagi Membantu Siasatan Kes Bunuh Syaleza



SHAH ALAM – Polis sudah mengambil keterangan lima individu bagi membantu siasatan kes eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah, berkata lima individu itu ialah tiga jiran mangsa dan dua lagi juga kakitangan stesen televisyen berkenaan.

“Keterangan yang kami peroleh akan digunakan untuk membantu siasatan serta proses pengumpulan bukti berhubung kes itu.

“Selain itu, mungkin ada beberapa saksi lagi yang kami akan panggil dalam masa terdekat ini untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Syaleza Jaffar, 31, ditemui mati oleh suaminya di bilik tidur rumah itu dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam Isnin lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Mohd Adnan berkata, tiada tangkapan baru dibuat dan lelaki yang bekerja di bahagian teknologi maklumat di sebuah firma itu kini direman sehingga 6 Ogos.

Mengulas mengenai senjata yang diguna untuk membunuh Syaleza, beliau berkata pihaknya tidak menemui apa-apa senjata atau bahan bukti yang mungkin diguna dalam kejadian itu.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengumpul maklumat terperinci termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

No comments:

Terbaik Dari Ping Busuk