Friday, May 11, 2012

Gambar Nahas Pesawat Sukhoi Di Indonesia


JAKARTA, 11 Mei — Pasukan mencari dan menyelamat pada Jumaat menemui 12 mayat penumpang pesawat awam buatan Rusia Sukhoi Superjet 100 yang terhempas di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat. Ketua Badan SAR Nasional (Basarnas) Marshal Madya Daryatmo berkata mayat itu belum dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkannya dari tempat kejadian.


Keadaan cuaca buruk dan tempat pendaratan helikopter (heli pad) yang belum boleh digunakan menghalang usaha mengeluarkan mayat dengan lebih cepat, katanya di Jakarta, Jumaat. Pasukan penyelamat juga berdepan kesulitan dalam operasi mencari dan menyelamat kerana tempat kejadian merupakan sebuah tebing curam yang bercerun 85 darjah manakala kabut tebal pula menghadkan jarak penglihatan.

Pesawat itu, yang membawa 45 penumpang dalam penerbangan demonstrasi, berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu dan dilaporkan hilang sekitar 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara. Sejurus sebelum ia hilang dari radar, juruterbang meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu daripada ketinggian 10,000 kaki kepada 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa beliau bertindak demikian. Lapan warga Rusia dari syarikat Sukhoi antara penumpang pesawat itu, selain warga Indonesia termasuk beberapa wartawan.
Sebahagian besar anggota keluarga mangsa yang berkumpul di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma kelihatan sedih dan terharu dengan penemuan mayat berkenaan ketika mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat itu melalui televisyen. Namun, ada antara mereka masih berharap orang kesayangan yang menjadi penumpang pesawat malang itu dapat ditemui dalam keadaan selamat.- Bernama

No comments: