Tuesday, April 3, 2012

Sanggup Ditetak Demi Isteri

IPOH - Demi menyelamatkan isteri daripada diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, seorang suami terpaksa menerima 13 jahitan di kaki kiri apabila ditetak dalam satu cubaan merompak kedai menjual barang keagamaan milik mangsa di Taman Pakatan Indah, kelmarin.

 Mangsa, Lee Kwei Fah, 57, bukan sahaja cedera di kaki, malah jari telunjuk sebelah kanan hampir putus selepas diserang lelaki terbabit. Pemilik kedai menjual barang keagamaan itu menceritakan ketika kejadian, dia sedang berada di kedai bersebelahan manakala isterinya, Wong Siew Chan, 50, sedang sibuk mengira wang hasil jualan.


 Menurutnya, kira-kira jam 7 malam dia terdengar suara isterinya meminta tolong dan segera mengambil sebatang kayu untuk mempertahankan diri. “Ketika tiba di kedai kelihatan seorang lelaki mengacukan pisau ke arah isteri saya dan tanpa berfikir panjang terus memukul lelaki itu yang kemudian bertindak melarikan diri.

 “Namun, seorang lagi lelaki yang juga rakannya tiba-tiba masuk ke kedai dan terus menyerang saya menggunakan parang. “Kaki saya ditetak beberapa kali sehingga menyebabkan saya tak mampu untuk melawan. Tetapi saya bernasib baik kerana secara kebetulan anggota Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan berada berhampiran tempat kejadian,” katanya yang masih dirawat di sebuah hospital swasta, semalam.

 Kwei Fah berkata, suspek cuba melarikan diri dan hampir terjatuh ke dalam longkang ketika anggota persatuan sedang mengejar suspek terbabit. “Lelaki itu, kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Simpang Pulai untuk tindakan seterusnya. “Isteri saya turut membuat laporan polis di balai yang sama pada malam tersebut manakala saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. “Saya juga terpaksa menjalani pembedahan dan menerima 13 jahitan memandangkan tendon kaki cedera parah,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana penjenayah berkenaan tidak sempat melarikan wang tunai mahupun barang berharga yang terdapat di kedai tersebut. “Saya diberitahu kumpulan tersebut terdiri daripada empat orang lelaki tetapi tiga daripadanya sempat melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya yang menganggarkan usia suspek dalam lingkungan 30 ke 40 tahun. Sementara itu, jurucakap Balai Polis Simpang Pulai ketika dihubungi, semalam mengesahkan menerima laporan daripada isteri mangsa.- Sinar

No comments: