Sunday, April 22, 2012

Dua Bekas Anggota Tentera Amerika Dirogol


Washington – Dua lagi bekas anggota tentera wanita di Amerika Syarikat mendedahkan bagaimana mereka telah dirogol oleh rakan setugas namun dibuang kerja selepas melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak atasan. Pendedahan ini mengejutkan banyak pihak susulan tindakan pemimpin atasan tentera yang tidak mengendahkan dakwaan serangan seksual berlaku dalam perkhidmatan berkenaan.

 Dalam tuntutan saman yang dikemukakan oleh Leah Marquet, 20, dan Anne Kendzior, 22, menyatakan bahawa mereka menjadi mangsa serangan seksual di Akademi Latihan Tentera di Maryland dan West Point,New York. Marquet, bekas pelatih di West Point mendakwa dia telah dipaksa oleh pegawainya supaya minum minuman keras sehingga mabuk sebelum dirogol oleh pelatih lain ketika tidak sedarkan diri.

 Selepas membuat laporan mengenai serangan itu, Marquet mendakwa dia telah diganggu oleh pelatih berkenaan dan dipaksa menggugurkan laporan tersebut. Dia akhirnya berhenti daripada akademi itu selepas cuba membunuh diri.

 Manakala Kendzior dalam tuntutan samannya pula menyatakan, dia telah memasuki akademi tentera laut pada 2008, sebelum dirogol sebanyak dua kali oleh dua pelatih ketika sedang mabuk. Namun Kendzior, mendakwa dia telah dipaksa berhenti kerja selepas membuat laporan serangan seksual itu kepada kaunselor akademi berkenaan.

 Kedua-dua wanita itu menamakan bekas Setiausaha Pertahanan Robert Gates dan empat pegawai tentera yang lain gagal mengambil langkah bagi mengelakkan kejadian serangan seksual berlaku. Bulan lepas, lapan wanita telah mengemukakan saman ke atas kerajaan persekutuan mendakwa telah dirogol ketika berkhidmat dalam tentera. Mereka termasuk Lt Ariana Klay dan Lt Elle Helmer yang mendakwa dirogol di salah sebuah kem berprestij di Amerika Syarikat, iaitu U.S. Marine Barracks.

No comments: