Monday, April 30, 2012

Bersih 4.0 Jika Tolak Tuntutan - Presiden Pas



SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya bebas dan adil.



"Jika sekiranya tuntutan rakyat kekal tidak didengari, kita sedia menganjurkan perhimpunan lebih besar dengan jumlah berganda daripada Bersih 3.0 sehingga protes kita terhadap kekotoran pilihan raya diterima.

"Kita mahukan perubahan kerajaan dalam keadaan aman dan matang sebagaimana amalan negara-negara maju yang telah matang amalan demokrasinya," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bersih 2.0 diadakan Julai lalu. Perhimpunan semalam adalah susulan kepada Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Ia diadakan kira-kira sebulan selepas Dewan Rakyat meluluskan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Kenyataan hari ini dikeluarkan susulan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara semala, yang menarik ribuan peserta, tetapi berakhir dengan insiden ganas.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, bagi pihak pimpinan Pas, "saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh ahli dan penyokong yang telah berjaya mengikut arahan pimpinan sehingga Bersih 3.0 berjaya diadakan dengan jayanya."

Katanya, ahli-ahli Pas telah menunjukkan komitmen bersungguh, sehingga jumlah yang ramai berjaya hadir dan bertugas dengan baik khususnya anggota Unit Amal.

"Begitu juga rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang politik dan tidak berparti juga turut menjayakan," katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, beliau sempat berjalan bersama rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat dari Masjid Negara hingga ke tengah bandar raya Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan moga semua yang menjayakan diberi ganjaran oleh ALLAH.

"Dalam masa yang sama saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan Pakatan Rakyat yang ikut serta dan NGO-NGO yang memulakan himpunan sehingga tercapai kejayaan lebih besar daripada Bersih 2.0," katanya lagi.




Abdul Hadi menambah, pihaknya mahu kerajaan segera melakukan perubahan dalam demokrasi di Malaysia.

"Segera bersihkan daftar pemilih, bebaskan media dan lain-lain amalan demokrasi.

"Jangan tulikan telinga dengan protes besar rakyat kelmarin (semalam)," katanya lagi.



No comments:

Terbaik Dari Ping Busuk