Thursday, April 26, 2012

Vokalis Joey Tinggalkan Bumi Putra Rockers (BPR)

Kumpulan Bumiputera Rockers atau BPR adalah sebuah kumpulan rock Malaysia yang mula dikenali ramai setelah menyertai “Pesta Hiburan Kingsway”. Bumiputra Rockers dianggotai oleh 5 orang ahli iaitu Joey (penyanyi), Awang (guitar), Harun (guitar), Yem Bai (bass) dan Enal (dram) merupakan sebuah kumpulan pop/hard rock yang berasal dari Johor Bahru.


Gabungan dari bekas ahli kumpulan pecahan saperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times, kumpulan ini diilhamkan oleh Raja Rock Ramli Sarip dan diurus oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity. Penglibatan awal kumpulan BPR di persada muzik tempatan bermula pada 1985.

Ahli kumpulan ini adalah bekas kumpulan lain yang disatukan bersama. Mereka berkumpul kerana kebetulan mereka semua berasal dari Johor Bahru, Johor. Kumpulan ini banyak mengikut kumpulan Sweet Charity.Boleh dikatakan di mana Sweet Charity membuat persembahan, pasti kumpulan BPR pun ada. Setelah setahun menimba pengalaman menyanyi di fun fair, mereka nekad untuk bergelar artis profesional. Ini bermula apabila BPR menerima tawaran daripada syarikat ItoProds yang dimiliki oleh penyanyi Ito dari kumpulan Blues Gang. Album yang diedarkan oleh syarikat Life Records ini diterbitkan pada tahun 1987 diberi judul Selamat Pagi Malaysia mendapat sambutan yang cukup luar biasa.

Kemudian kumpulan BPR mula bekerjasama dan mendapat sentuhan berbisa daripada komposer Datuk M Nasir. Waktu itu nama M Nasir memang sedang ‘meletop-letop’. Apa sahaja lagu ciptaannya pasti menjadi siulan ramai. Menerusi sentuhan M.Nasir, nama BPR mula dikenali dan lagu mereka menjadi popular.

M Nasir telah menghasilkan lagu yang cukup bagus bermula dengan album BISA yang diterbitkan pada tahun 1988. Lagu SERIBU TAHUN TAK KAN MUNGKIN ciptaan M.Nasir telah melonjakkan nama BPR sebaris dengan kumpulan Rock popular lain.Selain lagu tersebut, BPR turut dikenali dengan lagu-lagu lain yang juga cukup berhantu seperti, AIR MATA JERNIH, SILATULRAHIM, AKU HANYA SERANGGA, HARUM SUBUR DI HATI, DARI SINAR MATA dan banyak lagi.

Namun setelah hampir 27 tahun bersama mengharungi suka duka sebagai sebuah kumpulan, BPR terpaksa melepaskan penyanyi mereka iaitu Joey apabila beliau mengambil keputusan untuk bergerak secara solo. Keputusan Joey ini tidak mendapat halangan dari syarikat Life Records yang menaungi BPR selama ini namun Joey hanya boleh menggunakan nama beliau sahaja tanpa melibatkan atau menggunakan nama BPR baik untuk single terbaharu, album terbaharu serta sebarang persembahan pentas.

Namun bagi Awang BPR dan anggota BPR yang lain, perjuangan BPR tetap akan diteruskan. Mereka kini sedang mencari penyanyi baharu bagi menggantikan Joey. Beberapa sessi uji bakat turut diadakan untuk mencari penyanyi yang sesuai. Life Records dan BPR turut membuka peluang kepada yang diluar sana untuk menghantar demo suara atau mencuba nasib untuk menjadi penyanyi baharu BPR.

Demo suara tersebut boleh dihantar ke Life Records, No 66-68 Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur atau Studio Awang BPR yang beralamat di No 15-2B, Jalan Pandan Indah 4/32, Taman Pandan Indah Kuala Lumpur.

Sesiapa yang berminat juga boleh hubungi Awang BPR untuk temujanji uji bakat di talian 03-89323124. Untuk sementara sebelum BPR mendapat penyanyi pengganti, sekiranya mereka mendapat jemputan untuk membuat persembahan, BPR akan tampil bersama penyanyi jemputan seperti Ijam vokalis kumpulan Medicine ataupun Bagio vokalis Damasutra.

No comments: