Friday, June 8, 2012

Gadis Bawah Umur Dirogol Kenalan Facebook



MANGSA rogol (kiri) ditemubual oleh wartawan selepas mengaku dirogol kenalan di Facebook di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di Ipoh, semalam.

IPOH 5 Jun - Gara-gara keasyikan cinta Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun bukan sahaja sanggup ponteng sekolah untuk bertemu teman lelakinya malah, beberapa kali menjadi mangsa rogol suspek yang dikenalinya melalui laman sosial itu pertengahan tahun lalu.

Remaja perempuan itu pertama kali dirogol oleh remaja berusia 16 tahun pada November tahun lalu ketika dia masih berusia 12 tahun.


Mangsa memberitahu, dia mula mengenali lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Lumpur melalui Facebook pada pertengahan tahun lalu.


"Walaupun bekerja di Kuala Lumpur, dia selalu pulang ke rumah keluarganya di sini. Kami selalu berjumpa di sebuah pasar raya di Bercham dan sanggup ponteng sekolah untuk bertemu dengannya," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini hari ini.


Sementara itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, keluarganya mula menyedari adiknya dirogol setelah dimaklumkan pihak sekolah bahawa mangsa sering ponteng kelas.


"Pada 25 Mei lalu, adik saya tidak pulang ke rumah dan selang dua hari selepas itu, ibu teman lelaki adik saya menghubungi ibu kami dan beritahu mangsa berada di balai polis.


"Di situ, adik saya mengaku dia telah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya secara rela hati," katanya.
Sehubungan itu, Lee berkata, isterinya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu agar polis mengambil tindakan ke atas remaja berkenaan kerana adiknya masih di bawah umur.


Dalam pada itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan membantu remaja itu mendapatkan khidmat kaunseling dengan pakar psikologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).


Menurut Mohd. Rawi, kes remaja dirogol kenalan Facebook perlu dipandang serius kerana terdapat banyak kes seumpama itu berlaku kebelakangan ini.


"Pada tahun ini termasuk kes ini, saya menerima lima aduan melibatkan remaja perempuan berusia antara 13 dan 18 tahun dirogol kenalan yang baru dikenali menerusi laman Facebook. Kebanyakannya, dirogol selepas seminggu berkenalan," jelasnya



Sumber-

No comments: