Saturday, April 14, 2012

Pasangan Akui Sudah Bertunang Dicekup Khalwat


LEDANG – Helah pasangan kekasih mengaku sudah bertunang bagi mengelak ditahan tidak menjadi selepas mereka dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, semalam.

 Remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah kolej di sini ditahan bersama kekasihnya dalam serbuan yang dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah hubungan suami isteri.

 Remaja lelaki itu juga difahamkan mengambil peluang ketika minggu ulang kaji pelajaran untuk bersama kekasihnya yang datang dari Pontian. Tambah mengejutkan, teman wanitanya yang sebaya usia itu tergamak menipu keluarganya dengan menyatakan mahu ke Muar untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah maktab di sini, namun sebenarnya datang ke Ledang bagi menemui kekasih. Kadi Daerah Ledang,

Sulaiman Maidin berkata, penguat kuasa menjalankan serbuan selepas menerima aduan daripada orang awam. Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang remaja perempuan yang baru bangun tidur membuka pintu.

 “PPADL menunggu hampir lima minit sebelum remaja berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. “Sebaik memasuki bilik hotel ini, kita menjumpai pakaian dan minyak wangi dipercayai milik lelaki,” katanya kepada Sinar Harian.

 Katanya, pemeriksaan lanjut di sekitar bilik hotel itu menemui seorang lelaki sedang tidur dalam keadaan separuh bogel. “Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

 “Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. Menurutnya, mereka antara tiga pasangan berusia di antara 23 dan 40 tahun yang dicekup dalam serbuan di dua hotel berasingan serta rumah bermula jam 12.30 pagi, semalam.- sinar

No comments: