Patutlah ketika mengadap teh tarik pagi itu, kawan baik saya, Li Itik bukan main gembira lagi. Suaranya yang seperti bunyi itik serati waktu pagi, berkeriau bercerita itu ini.
Sambil bercerita, dia menunjuk-nunjuk laporan dalam surat khabar, bahawa lelaki bersuara halus benihnya lebih subur berbanding lelaki bersuara garau. Patutlah Li Itik seronok dan bangga sangat nampaknya.
Ini kerana dilaporkan dalam surat khabar hari itu, kajian sekumpulan pakar di sebuah universiti di Australia mendapati lelaki yang bersuara garau memiliki sperma yang kurang subur.
Sebaliknya, mereka yang bersuara halus seperti Li Itik, benihnya lebih sihat malah lebih handal untuk berenang sama ada gaya bebas ataupun kuak lentang menuju garisan penamat.
Laporan ini sekali gus membunuh rasa syok sendiri majoriti lelaki bersuara garau - termasuk saya - yang selama ini mati-mati menyangka suara kami sudah cukup maskulin dan memenuhi ciri-ciri kejantanan sejati.
Malah wanita juga diyakini lebih menyukai lelaki bersuara garau berbanding suara yang boleh membuat mereka keliru dengan bunyi itik serati seperti kawan saya itu.
Tetapi apa yang didedahkan kajian dari Australia itu adalah sebaliknya. Mereka yang bersuara halus sebenarnya lebih bertuah. Orang seperti Li Itik sudah tentu akan mempercayai seratus peratus tanpa sedikit pun keraguan pada kebenaran laporan itu.
Namun jika sebaliknya ditanya kepada para jantan bersuara garau, sudah tentu 1,001 alasan diberi untuk menafikannya. Walau apa pun, dengan hanya Li Itik sendiri sebagai petunjuk, saya sendiri cenderung untuk mempercayai laporan itu benar.
Masakan tidak, dalam usia baru menjangkau 34 tahun, anaknya sudah enam - bilangan anak yang banyak bagi orang sekarang. Malah dia juga ada sepasang kembar. Malah saya percaya potensi untuk Li Itik menambah anak - apabila memikir hal ini, saya terbayang melihat itik yang berjalan sederet di batas bendang pada waktu petang - masih teramat cerah.
Jadi, mungkin benarlah kajian itu bahawa lelaki bersuara halus, benihnya subur. Sebab apa subur? Menurut laporan itu lagi, suara garau, bentuk badan yang berciri maskulin, tingkah laku yang dominan dan banyaknya bulu di badan, ada kaitan dengan kandungan tinggi hormon testosteron.
Lalu apabila hormon testosteron berada pada tahap kandungan yang tinggi, ia mengganggu penghasilan sperma. Maka, terjejaslah kesuburan seseorang lelaki.
Jadi, pilihlah... mahu suara yang garau atau benih yang subur? Saya tiba-tiba teringat, seorang Tan Sri pernah bercerita kepada saya mengenai kawannya yang punya anak ramai.
Apabila ditanya bagaimana dia boleh ada anak yang begitu ramai, kata kawan Tan Sri itu, puncanya kerana benih yang subur.
“Kerana terlalu subur kata dia, isterinya boleh mengandung hanya dengan dia campak seluarnya ke atas kelambu isterinya,” kata Tan Sri itu sambil ketawa. Seorang kawan saya pula, Adam namanya, bekerja sebagai pemandu peribadi kepada seorang tokoh korporat.
Di tempat tinggalnya di pinggir bandar Petaling Jaya, dia aktif sebagai anggota Rela. Dalam usia menjelang 40, anaknya sudah sembilan. Kerana kerja dan juga aktiviti Relanya, Adam memang jarang-jarang berada di rumah.
Kerana itu, ramai orang hairan bagaimana dia boleh punya anak yang begitu ramai.
“Petuanya senang saja,” kata Adam. “Di rumah, guna kipas meja... bukan kipas siling atau kipas yang ada tiang panjang. Kipas itu pula, letak di hujung kaki isteri semasa dia tidur dan pasangkan nombor tiga selalu. Tak kiralah pukul berapa pun aku balik ....,” katanya sambil terkekeh-kekeh ketawa hingga terhinggut-hinggut perut besarnya.- Sumber
No comments:
Post a Comment