Thursday, January 26, 2012

NFC Ada Kelemahan Tapi Bukan 'Kucar-Kacir' Kata Audit Negara

SHAH ALAM - Ketua Audit Negara menegaskan memang terdapat beberapa kelemahan dalam projek ternakan lembu daging Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) tetapi pihaknya tidak pernah menggambarkan ia "kucar kacir atau pun ada penyelewengan."


Justeru menurut Tan Sri Ambrin Buang,  perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara ialah pencapaian projek NFC sejak penubuhannya pada 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp.) sebagai sebuah syarikat.


Menurut beliau, NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn. Bhd.


Isu NFC muncul kontroversi selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 diumumkan pada akhir Oktober lalu.


"Projek ini diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar," kata beliau dalam satu kenyataan.


Sejumlah wang itu melibatkan peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian.


"Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir 2010 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini. Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja," katanya lagi.


Menurut beliau, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir 2010, sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.


"Pinjaman mudah juga telah diluluskan kepada NFCorp yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007.


"Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan," katanya.


Ambrin menambah, tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan.


"Pengauditan ini melibatkan semakan terhadap maklumat yang diperolehi daripada beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga daripada pegawai-pegawai NFCorp semasa lawatan tapak dilakukan pada bulan Mac 2011.


Katanya, berdasarkan analisis audit yang bersandarkan kepada maklumat tersebut, pemerhatian-pemerhatian audit telah dibuat secara bertulis untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada pihak-pihak ini.


Selain itu, perbincangan menerusi 'Exit Conference' telah dibuat dengan wakil-wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek NFc sebelum laporan audit dimuktamadkan untuk dimuatkan ke
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.


Tegas beliau, analisis audit mendapati objektif projek NFC masih belum dicapai sepenuhnya.


"Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010. Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran NFC iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi.


"Jika dibaca keseluruhan Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu, tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, 'in a mess' atau pun penyelewengan. Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan," katanya.


Juster itu katanya, pada pendapat Jabatan Audit Negara, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


"Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini. Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan NFC sehingga satu kajian viabiliti dan model perniagaan dijalankan bagi projek ini?," katanya sambil menambah, perkara itu ada dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.


"Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah pun mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek ini," katanya lagi.- Sumber 




K/s- Audit nak bakup pulak si NFC nih...Cerita je la hal sebenar, x payah simpan2...Goyang ke hapa

No comments:

Terbaik Dari Ping Busuk