KOTA BHARU – Demi nafsu buasnya, seorang guru yang diberi tanggungjawab mendidik bertindak di luar batasan apabila sanggup merogol dan mencabul anak muridnya sendiri.
Padahnya, guru terbabit dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan tujuh sebatan rotan oleh Hakim Rofiah Mohamad di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Yek Hock Soon, 29, didapati bersalah pada pertuduhan pertama mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan, antara jam 8 pagi dan 3 petang pada awal Ogos 2009.
Dia juga disabitkan bersalah pada pertuduhan kedua mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa pada jam 12.15 tengah hari, 17 Ogos tahun sama.
Lebih kejam, kedua-dua kes tersebut dilakukan di tempat guru terbabit mengajar di makmal sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali, mangsa mengalami trauma akibat perlakuan guru bahasa Cina dan Sains itu. Rofiah dalam keputusannya berkata, pencegahan untuk membendung jenayah seperti ini adalah sangat penting.
Hubungan antara guru dan anak murid sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Selepas menimbang kesemua hujah, dengan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebat untuk kesalahan pertama. Pada kesalahan kedua, tiga tahun penjara dan dua sebatan. Kedua-dua hukuman berjalan berasingan, katanya.
Peguam bela, Rosmizan Sulaiman bagaimanapun memohon penangguhan hukuman untuk anak guamnya itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Selepas dipertimbangkan, Rofiah membenarkan dengan syarat jaminan tertuduh RM7,000 sebelum ini dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin.
“Kamu juga perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan selain pasport diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya. - Sumber
K/s-Harapkan pagar pagar makan rumput....
No comments:
Post a Comment